Hari ini saya dedahkan invois dan senarai perbelanjaan kempen BN dalam PRU13 yang menggunakan dana RM2 juta dari Kementerian Kewangan. Salah satu perbelanjaan utama ialah kempen "Nambike" untuk memperbaiki imej Najib Razak di kalangan pengundi India. Sahabat saya YB Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Kapar akan membuat laporan polis esok agar Dato' Seri Najib Tun Razak, Datuk K.K.Eswaran dan Datuk M. Davendran disiasat atas kesalahan pecah amanah wang rakyat.
Bagi paparan invois dan penyata perbelanjaan yang lengkap, lawati:
http://rafiziramli.com/
24 FEBRUARI 2016
BUKTI PERBELANJAAN KEMPEN BARISAN NASIONAL DALAM PRU13 YANG MENGGUNAKAN DANA AWAM
Saya telah tampilkan bukti bagaimana geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2 juta telah dipindahkan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) pada 22 April 2013 yang kemudiannya diisytiharkan sebagai “derma” bagi membiayai perbelanjaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) oleh presiden MAICCI Datuk K.K.Eswaran.
Hari ini, saya bentangkan bukti-bukti bagaimana dana awam RM2 juta itu telah dibelanjakan oleh individu-individu tertentu untuk menjalankan kempen BN. Perincian perbelanjaan ini boleh disemak melalui dokumen-dokumen berikut:
1. “Payment Summary” berjumlah RM954,678.10 yang menunjukkan secara terperinci segala perbelanjaan bagi kempen BN untuk masyarakat India di beberapa negeri tertentu. Sebahagian dari program yang dibiayai (seperti program Sahabat BN di Melaka, Sahabat BN di Klang dan lain-lain) telah pun disahkan melalui liputan-liputan berita yang saya senaraikan di dalam sidang media semalam
https://drive.google.com/
2. “Payment Voucher” bernombor 7(14) bertarikh 4 Ogos 2014 sebanyak RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran sebagai bayaran balik kepada perbelanjaan kempen PRU13 yang didahulukan oleh beliau
https://drive.google.com/
3. “Payment Voucher” bertarikh 8 Mei 2013 kepada Narish Enterprise sebanyak RM50,000 sebagai bayaran kepada jentera pilihanraya BN Pahang (Dato’ M. Davendran, Setiausaha Kehormat MAICCI adalah bekas Pengerusi MIC Pahang dan bekas ADUN Sabai, Pahang)
https://drive.google.com/
4. “Payment Voucher” bertarikh 3 Mei 2013 kepada Teraju Muda Sdn Bhd sebanyak RM500,000 bagi penyediaan CD program Sahabat BN. Teraju Muda Sdn Bhd adalah syarikat RM2 yang didaftarkan di Johor Bahru. 2 orang pengarahnya adalah bekas pegawai kanan kerajaan iaitu Dato’ Shahrom Abdul Majid (bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan) dan Dato’ Mohd Ali Samad (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan)
https://drive.google.com/
Saya juga telah menyemak pembayaran invois dan baucer bayaran ini dengan penyata bank MAICCI dan boleh mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Cek bagi bayaran RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran telah dilunaskan pada 7 Ogos 2014
2. Cek-cek bagi bayaran berjumlah RM954,678.10 (kepada Datuk K.K.Eswaran, nombor cek 719603), RM50,000 (nombor cek 719604) dan RM500,000 (nombor cek 719602) seperti perincian di atas telah dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa)
3. Satu lagi cek bernilai RM420,000 (nombor cek 719601) dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa) seperti cek-cek di atas iaitu bayaran bagi kemeja-T kempen pilihanraya BN kepada Impak Dermaga Sdn Bhd
Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat oleh MAICCI bagi perbelanjaan kempen BN bagi PRU13 adalah RM2,109,678.10. Saya juga boleh mengesahkan melalui semakan penyata bank bahawa kesemua RM2 juta yang dipindahkan oleh Kementerian Kewangan sebagai “geran” kepada MAICCI telah digunakan bagi perbelanjaan-perbelanjaan yang diperincikan di atas.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
LAPORAN POLIS DI BAWAH SEKSYEN 405 KANUN KESEKSAAN ATAS PECAH AMANAH (“CRIMINAL BREACH OF TRUST”) TERHADAP DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK, DATUK K.K.ESWARAN DAN DATO’ M DAVENDRAN KERANA MENYALAHGUNAKAN DANA AWAM BAGI KEMPEN BN DALAM PRU13
Berdasarkan bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini, adalah jelas bahawa dana awam telah digunakan untuk membiayai kempen BN dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) yang lalu. Lebih teruk lagi apabila dana awam ini diumumkan sebagai “derma” pilihanraya kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan MAICCI.
Saya percaya individu-individu terbabit seperti berikut perlu disiasat di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana disyaki pecah amanah (dan seksyen-seksyen lain yang berkaitan):
1. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua kelulusan peruntukan. Oleh itu, beliau boleh dikira pecah amanah kerana meluluskan peruntukan dana awam bagi tujuan yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai Pengerusi BN
2. Datuk K.K.Eswaran yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Presiden MAICCI untuk mendapatkan dana awam dari Kementerian Kewangan yang kemudiannya tidak digunakan bagi tujuan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan/piagam MAICCI, sebaliknya untuk kempen politik
3. Dato’ M Davendran yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Setiausaha Kehormat MAICCI untuk menggunakan dana awam yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai bekas ADUN yang mungkin bertanding di dalam PRU13
Saya akan membuat laporan polis terhadap 3 individu ini pada hari esok, Khamis 25 Februari 2016 jam 2 petang di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.
MANIVANNAN GOWIN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN KAPAR

No comments:
Post a Comment