Breaking News
recent

Ulasan Rafizi bekenaan Sokongan PAS kepada UMNO


Saya jarang sangat mengeluarkan kenyataan atau komen yang menyentuh PAS, apatah lagi yang melibatkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Saya hormati dan hargai sumbangan beliau sebagai tokoh utama pembangkang selama berpuluh-puluh tahun.
Namun saya ditanya berkali-kali oleh orang ramai (terutama pengunjung FB ini) mengenai pandangan saya kepada pendirian terbaru Dato' Seri Hadi Awang iaitu "menolak parti Umno, berkawan dengan orang (pemimpin) Umno".
Saya ambil pandangan yang berbeza. Sepanjang sejarah Umno terutamanya selepas merdeka, sebenarnya pimpinan Umno itulah yang mencorakkan hala tuju dan pendekatan Umno. Sebab itu setiap kali Umno bertukar Presiden, setiap kalilah Umno bertukar.
Maka bagi saya, kemudharatan yang dibawa oleh Umno kepada rakyat sebenarnya berbalik kepada jenis orang yang menjadi presiden/pemimpin Umno. Jika presiden Umno itu kasar, tidak mementingkan rakyat dan taksub dengan kuasa - maka Umno (dan kerajaan) pun akan kasar, tidak mementingkan rakyat dan taksub dengan kuasa.
Begitulah juga sebaliknya.
Saya lebih banyak tumpukan serangan kepada sosok tubuh Najib Razakdan isterinya kerana saya percaya beliau membawa lebih banyak kerosakan dan mudharat kepada rakyat. Malah beliau juga membawa kerosakan kepada Umno sehingga Umno berpecah belah dan dibenci rakyat.
Keputusan-keputusan beliaulah yang menindas rakyat sekarang. Banyak kesengsaraan rakyat yang ada sekarang hanya berlaku di zaman beliau menjadi presiden Umno:
- GST diperkenalkan
- biasiswa dihentikan
- pinjaman PTPTN dikurangkan hingga anak-anak orang susah kesempitan hidup
- subsidi minyak dihapuskan sama sekali
- subsidi lain dihapuskan/dikurangkan sehingga tambang pengangkutan awam, tol dan lain-lain naik mendadak
- Dana Tabung Haji digunakan untuk tujuan yang berisiko tinggi seperti 1MDB
- Dana pencen rakyat diberikan kepada 1MDB tetapi tidak ada kepastian bagaimana dana itu akan dibayar balik oleh 1MDB
- Hutang 1MDB mencecah RM42 bilion tetapi tidak menampakkan hasil
- Harta negara seperti tanah-tanah dan stesen janakuasa elektrik bertukar tangan kepada syarikat asing dari Republik China
- kemewahan yang tidak sepadan seperti pembelian jet baru dan rombongan ke luar negara yang ditanggung rakyat
Saya bukanlah melupakan perbezaan di antara saya/parti saya/ Anwar Ibrahim dengan pimpinan Umno yang kini menentang beliau, malah saya masih memegang rekod ahli parlimen pembangkang yang paling banyak disaman oleh Umno.
Tetapi menghentikan mudharat yang dibawa oleh Dato' Seri Najib Tun Razak ini adalah keutamaan paling atas. Menghentikan GST adalah keutamaan kepada rakyat.
Sebab itu usaha-usaha untuk menggantikan Perdana Menteri ini (walaupun dari kumpulan yang berbeza) saya fikir wajar disokong.
Sebab itu saya akan hadir ke pertemuan tokoh-tokoh untuk menyatakan persetujuan bersama bahawa Dato' Seri Najib Tun Razak perlu meletakkan jawatan pada 27 Mac 2016 ini.
Saya harap Dato' Seri Hadi Awang juga akan turut sama, supaya rakyat tidak terkeliru seolah-olah beliau/PAS mempertahankan Dato' Seri Najib Tun Razak pada kala kemarahan rakyat terhadap Perdana Menteri makin memuncak.

Rafizi Ramli
MP Pandan
Unknown

Unknown

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.