Selagi Pengerusi Tabung Haji adalah seorang politikus yang menerima arahan politik, Tabung Haji akan terus terdedah kepada risiko kewangan. Saya akan konsisten mendesak supaya seorang profesional yang pakar dalam bidang kewangan dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru. Maklumbalas rawak rakyat di media sosial menunjukkan majoriti berharap Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dapat menerajui Tabung Haji selepas ini.
18 FEBRUARI 2016
Untuk melihat carta dan lain-lain, boleh layari capaian
http://rafiziramli.com/…/perdana-menteri-perlu-lantik-peng…/
http://rafiziramli.com/…/perdana-menteri-perlu-lantik-peng…/
PERDANA MENTERI PERLU LANTIK PENGERUSI BARU TABUNG HAJI UNTUK KEMBALIKAN KEYAKINAN RAKYAT
Saya dimaklumkan bahawa kadar pengeluaran deposit oleh penabung Tabung Haji adalah tinggi kebelakangan ini yang membimbangkan pengurusan Tabung Haji. Sehingga kini, maklumbalas dari kepimpinan kerajaan termasuklah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih belum berjaya menenangkan keresahan penabung kerana tidak menjawab isu-isu pokok yang ditimbulkan.
Saya pula akan terus membawa beberapa pelaburan Tabung Haji yang merugikan dan menimbulkan tanda tanya sama ada berlaku campur tangan politik dalam keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang besar.
Jika tidak ditangani dengan baik oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, keadaan ini akan berlarutan dan sedikit demi sedikit akan menghakis keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji. Selama ini, Tabung Haji berjaya mencatat prestasi bonus melebihi 5% walaupun pulangan portfolio pelaburannya tidak semestinya memberangsangkan berbanding dengan institusi pelaburan lain kerana suntikan tabungan yang tinggi dari rakyat setiap tahun seperti yang ditunjukkan di dalam jadual di bawah:
Sokongan padu rakyat terhadap Tabung Haji selama ini telah membolehkan Tabung Haji mencatatkan purata pertumbuhan dana tahunan pada kadar 22.64% di antara 2009 hingga 2015 (unjuran). Oleh sebab itulah, jumlah simpanan baru bersih (simpanan tolak pengeluaran) setiap tahun adalah hampir 2 kali ganda dari jumlah bonus yang diumumkan.
Ini menerangkan bagaimana Tabung Haji tidak mempunyai masalah tunai untuk membayar bonus yang diumumkan kerana setiap tahun ia mendapat dana yang lebih besar daripada rakyat. Pertumbuhan dana tahunan yang tinggi ini juga menjelaskan bagaimana keuntungan yang diumumkan adalah semakin tinggi setiap tahun (mencecah RM3.53 bilion bagi 2015) walaupun jumlah keuntungan yang lebih besar setiap tahun itu sebenarnya menunjukkan kadar pulangan (% of return) merosot setiap tahun (berbanding saiz dana penabung yang semakin besar juga setiap tahun).
Sebab itu, adalah menjadi keutamaan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada Tabung Haji dengan segera supaya penabung berhenti mengeluarkan deposit dan orang ramai mula menabung kembali di dalam Tabung Haji. Tindakan paling mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat adalah menukar Pengerusi Tabung Haji dengan melantik pengerusi baru yang lebih berkelayakan dan bukan dari kalangan ahli politik.
Saya telah mengadakan satu kajiselidik rawak di media sosial untuk mendapatkan sentimen rakyat secara kasar mengenai tokoh-tokoh yang lebih sesuai menjadi Pengerusi Tabung Haji untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Tabung Haji. Saya memuatnaik dua kajiselidik rawak di Twitter (satu dalam bahasa Melayu dan satu dalam bahasa Inggeris untuk memastikan lebih ramai boleh turut serta) seperti berikut:
Sentimen umum rakyat melalui kajiselidik rawak di media sosial jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan Pengerusi Tabung Haji sekarang iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ditukar. Ia juga menunjukkan bahawa imej Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di mata rakyat adalah tinggi dan majoriti besar mahukan beliau menerajui Tabung Haji sebagai pengerusi yang baru selepas ini.
Oleh yang demikian, saya berharap Dato’ Seri Najib Tun Razak mempertimbangan melantik Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru selepas tempoh perkhidmatan beliau sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia tamat dalam bulan April ini. Saya yakin langkah melantik Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menggantikan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji dengan segera.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:
Post a Comment